Friday, 21 June 2013

e-portfolio

Salam mesra.

Perkembangan dunia tanpa sempadan kini memungkinkan pelbagai inovasi dalam pembelajaran. Ledakan penggunaan aplikasi di atas talian sebenarnya banyak membantu para pendidik untuk merubah cara pembelajaran pelajar. Anjakan paradigma sebegini seharusnya disambut positif oleh semua memandangkan generasi kini begitu serasi dengan perkembangan teknologi serta kemudahan untuk mengakses Internet bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai kini.

Saya hanya ingin menyentuh tentang penggunaan e-portfolio sebagai satu platform pembelajaran. e-portfolio dalam bahasa yang mudahnya merujuk kepada satu platform di atas talian yang berupaya memuatkan pelbagai fail elektronik, imej, multimedia, blog mahupun pautan (link).

Penghasilan e-portfolio oleh para pelajar, tidak kira sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah atau pengajian tinggi, memberi peluang kepada para pelajar untuk menonjolkan kemahiran serta kompetensi mereka, sama ada dari sudut teknikal mahupun isi kandungan sesuatu bahan yang dimuatkan dalam e-portfolio mereka. Selain mudah untuk dibangunkan, e-portfolio juga mampu diselenggara serta dikemaskini secara efektif.

Baru-baru ini saya berkesempatan menemui Prof Mohamed Ally dari University of Athabasca Canada yang merupakan pakar dalam e-learning serta mobile learning. Beliau menitipkan hasrat agar penggunaan e-portfolio dalam pendidikan di negara Malaysia dapat diperluaskan. Tentu sekali ini disambut baik oleh kami di fakulti pendidikan, sementelah pula pihak fakulti juga sedang berusaha ke arah meningkatkan tahap pelaksanaan pembelajaran secara blended-learning dalam kalalanga mahasiswa.

Saya sendiri secara peribadi sangat positif terhadap usaha ini. Berbalik kepada penggunaan e-portfolio, selain daripada kemahiran dalam menggunakan komputer dan ICt dapat diperhalusi, penggunaan e-portfolio juga tentu sahaja dapat membantu pelajar dalam menyusun dan menaakul informasi yang dicapai dan diterjemahkan dalam penulisan atau persembahan multimedia berdasarkan nilai kefahaman mereka. Proses ini tidak akan terjadi tanpa analisa, sintesis serta refleksi yang dinamik. Secara langsung, kemahiran berfikir dapat pula ditingkatkan, lalu tidaklah para pelajar kekal jumud dan hanya menjadi tapak acuan kepada setiap ilmu yang dicurahkan. Dan oh, di kala dunia menghensut ke titik tua, dan kala khazanah bumi hampir pupus dibaham arus pemodenan, tentu saja saya ingin menegaskan bahawa kini bukan lagi zaman untuk para guru atau pensyarah 'menanda' kertas untuk tujuan pemarkahan. Penggunaan e-portfolio membolehkan kita memarkahi kerja pelajar tanpa perlu dicetak. Bukankah ini satu langkah mulia demi menjaga warisan dunia .. lagi pula, tidak perlulah kita mengusung beban kertas berkajang-kajang untuk diperiksa. Tablet, PC hatta telefon pintar lengkap dengan kemudahan untuk memaparkan apa juga format fail.



Kadangkala kita terlalu leka dengan Facebook, atau Instagram atau WeChat dan sebagainya, tetapi kita terlupa bahawa selain untuk bersosial, kemudahan gadget sedia ada di tangan kita mampu mengubah cara kita bekerja - jimat masa, jimat tenaga!

Salam daripada T.I

No comments:

Post a Comment