Monday 24 June 2013

Kajian Kes

Atau dikenali sebagai Case Study dalam Bahasa Inggeris. Ketika di kuliah Kaedah Penyelidikan, ramai kiranya pelajar sarjana saya yang begitu berminat dengan rekabentuk kajian kes ini. Saya tanyakan kenapa kepada beberapa orang pelajar yang hadir. pelbagai jawapan yang saya terima. Antaranya adalah kerana kajian kes merupakan rekabentuk yang popular dan banyak dijalankan oleh sarjana terdahulu; ada pula yang menjawab; kerana itu permintaan badan yang membiayai pembelajaran mereka dan pelbagai lagi. Namun, satu yang menarik perhatian saya untuk dikupas lebih lanjut adalah bila ada yang berpendapat bahawa kajian kes merupakan satu tatacara penyelidikan yang mudah, ringkas dan boleh diselesaikan dalam tempoh yang pendek.

Benarkah begitu?

Jika hanya bersandarkan kepada kenyataan bahawan menjalankan kajian kes adalah mudah, ringkas dan senang, maka saya kira pemahaman sedemikian harus digilap semula. Mungkin stigma begitu timbul hasil pengalaman orang lain atau mungkin juga pengalaman sendiri. Persoalannya, di manakah aspek mudah, ringkas dan senang dalam kajian kes itu?

Adakah kerana kajian kes hanya melibatkan satu (atau lebih) kes kecil yang hanya merangkumi beberapa responden kajian lalu mereka beranggapan ianya sesuatu yang mudah?

InsyaAllah di lain entri saya akan sambung perdebatan tentang benarkah kajian kes sesuatu yang mudah.

Salam dari T.I


Friday 21 June 2013

Blended learning?

Hari ini berlangsungnya bengkel siri kedua berkaitan blended learning di salah sebuah hotel yang tidak jauh dari kampus. Saya pada awalnya agak berbelah bahagi sama ada perlu atau tidak saya hadir ke majlis tersebut. Meski nama saya sememangnnya tercatat dalam senarai jemputan, namun hati kecil seperti berat untuk bersetuju. Pertama, kerana komitmen lain yang menuntut waktu saya di fakulti. Kedua, kerana siri pertama bengkel tersebut tidak dapat saya hadiri. Lalu hati kecil saya khuatir kalau-kalau saya tersesat langkah dan hilang panduan tentang apa yang sedang berlaku di sekitar bengkel tersebut.

Namun, sekitar jam 10 pagi saya bertukar fikiran. Lalu saya memandu ke sana.
Alhamdulillah, gerak hati tidak pernah berbohong. Kiranya banyak perkara yang saya perolehi hasil perbincangan interaktif sesama rakan sekerja seputar usaha menaiktaraf proforma kursus Kaedah Penyelidikan. Beberapa isu timbul dalam benak saya. Jika benar kursus ini hendak digabungjalinkan dengan pembelajaran secara maya, apakah bentuk persediaan awal yang perlu diteliti bagi membantu para pelajar untuk memahirkan diri dengan pelbagai jenis 'tools' yang hendak digunakan sebagai bahan assessment kelak? Saya begitu khuatir bahawa dalam kalangan pelajar (peringkat master) tersebut akan ada golongan 'laggrds' sebagaimana yang ditulis oleh Everett Rogers ketika membincangkan ciri-ciri pengguna dalam teori Doffusion of Innovationnya. Golongan ini merupakan mereka yang paling terkebelakang dari sudut kesediaan untuk menggunakan sebarang inovasi atau perubahan.

Saya perhatikan keghairahan mereka untuk memperkenalkan segala macam 'tools' sedangkan pada saya, 'tools' tersebut tidak lain hanya merupakan alat yang membantu pelajar menghasilkan maklumat yang mereka kumpul dan dipersembahkan kepada pensyarah dan khalayak pelajar yang lain. Saya tegaskan bahawa adakah kemungkinan pelajar akan menolak pendekatan ini memandangkan keperluan untuk menjayakan blended learning membutuhkan kemahiran bukan sahaja dari segi 'content' maklumat berkaitan Kaedah Penyelidikan itu sendiri, malah kemahiran dalam membangun dan mengaplikasi alat tersebut secara efektif. Dan itu belum lagi menyentuh soal 'evaluation' atau penilain terhadap mutu bahan yang dihasilkan.

Benar, kita perlu berani berubah. Tetapi kadangkala, perubhana yang terlalu drastik boleh mematahkan semangat sesetengah jiwa. Saya meramalkan kesukaran yang mungkin akan timbul pada semester akan datang, bila mana kesemua elemen ini mula dilaksanakan. Bukan berfikir negatif, namun hasil pengalaman menerajui kelas-kelas berkaitan kemahiran komputer dan e-learning membantu khasyaf saya terhadap apa yang bakal berlaku. Janganlah kerana terlalu ghairah terhadap aplikasi yang cantik dan kelihatan 'catchy' sahaja, kita sebaliknya perlu menumpahkan rasa empati terhadap struggle dalam kalangan pelajar untuk menjadikannya suati realiti tanpa mengorbankan rasa sesiapa.

Bagi yang ingin mengetahui secara lanjut apa itu blende learning, sila kilik di sini. atau sini


Salam daripada T.I


e-portfolio

Salam mesra.

Perkembangan dunia tanpa sempadan kini memungkinkan pelbagai inovasi dalam pembelajaran. Ledakan penggunaan aplikasi di atas talian sebenarnya banyak membantu para pendidik untuk merubah cara pembelajaran pelajar. Anjakan paradigma sebegini seharusnya disambut positif oleh semua memandangkan generasi kini begitu serasi dengan perkembangan teknologi serta kemudahan untuk mengakses Internet bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai kini.

Saya hanya ingin menyentuh tentang penggunaan e-portfolio sebagai satu platform pembelajaran. e-portfolio dalam bahasa yang mudahnya merujuk kepada satu platform di atas talian yang berupaya memuatkan pelbagai fail elektronik, imej, multimedia, blog mahupun pautan (link).

Penghasilan e-portfolio oleh para pelajar, tidak kira sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah atau pengajian tinggi, memberi peluang kepada para pelajar untuk menonjolkan kemahiran serta kompetensi mereka, sama ada dari sudut teknikal mahupun isi kandungan sesuatu bahan yang dimuatkan dalam e-portfolio mereka. Selain mudah untuk dibangunkan, e-portfolio juga mampu diselenggara serta dikemaskini secara efektif.

Baru-baru ini saya berkesempatan menemui Prof Mohamed Ally dari University of Athabasca Canada yang merupakan pakar dalam e-learning serta mobile learning. Beliau menitipkan hasrat agar penggunaan e-portfolio dalam pendidikan di negara Malaysia dapat diperluaskan. Tentu sekali ini disambut baik oleh kami di fakulti pendidikan, sementelah pula pihak fakulti juga sedang berusaha ke arah meningkatkan tahap pelaksanaan pembelajaran secara blended-learning dalam kalalanga mahasiswa.

Saya sendiri secara peribadi sangat positif terhadap usaha ini. Berbalik kepada penggunaan e-portfolio, selain daripada kemahiran dalam menggunakan komputer dan ICt dapat diperhalusi, penggunaan e-portfolio juga tentu sahaja dapat membantu pelajar dalam menyusun dan menaakul informasi yang dicapai dan diterjemahkan dalam penulisan atau persembahan multimedia berdasarkan nilai kefahaman mereka. Proses ini tidak akan terjadi tanpa analisa, sintesis serta refleksi yang dinamik. Secara langsung, kemahiran berfikir dapat pula ditingkatkan, lalu tidaklah para pelajar kekal jumud dan hanya menjadi tapak acuan kepada setiap ilmu yang dicurahkan. Dan oh, di kala dunia menghensut ke titik tua, dan kala khazanah bumi hampir pupus dibaham arus pemodenan, tentu saja saya ingin menegaskan bahawa kini bukan lagi zaman untuk para guru atau pensyarah 'menanda' kertas untuk tujuan pemarkahan. Penggunaan e-portfolio membolehkan kita memarkahi kerja pelajar tanpa perlu dicetak. Bukankah ini satu langkah mulia demi menjaga warisan dunia .. lagi pula, tidak perlulah kita mengusung beban kertas berkajang-kajang untuk diperiksa. Tablet, PC hatta telefon pintar lengkap dengan kemudahan untuk memaparkan apa juga format fail.



Kadangkala kita terlalu leka dengan Facebook, atau Instagram atau WeChat dan sebagainya, tetapi kita terlupa bahawa selain untuk bersosial, kemudahan gadget sedia ada di tangan kita mampu mengubah cara kita bekerja - jimat masa, jimat tenaga!

Salam daripada T.I